i-FB transformasi program food bank

Datuk Armizan Mohd Ali

SABAK BERNAM, 12 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan inisiatif Ihsan Foodbank (i-FB) sebagai transformasi program Food Bank Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • i-FB adalah transformasi Food Bank Malaysia dengan pendekatan menyeluruh melibatkan kementerian, agensi, institusi tinggi dan komuniti.
  • Program berasaskan tiga komponen: santuni komuniti, sayangi alam dan selamatkan makanan.
  • Lebihan makanan yang selamat akan disalurkan kepada rangkaian foodbank untuk bantu golongan memerlukan dan kurangkan sisa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan program sedia ada dengan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan komuniti.

“Fokus kita adalah membantu mereka mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) makanan. Begitu juga dengan dasar keterjaminan makanan, bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), salah satu teras yang digariskan adalah untuk mengurangkan pembaziran dan menyalurkan lebihan bekalan makanan kepada food bank. KPDN akan membantu menggerakkan program ini.

“Jadi, kita harap dengan adanya pendekatan di seluruh negara, kita dapat melonjakan nilai dan makna kepada inisiatif Ihsan Food Bank ini, termasuk melibatkan institusi pengajian tinggi seperti yang dilaksanakan hari ini di Politeknik Sultan Idris Shah,” katanya selepas melancarkan i-FB di Politeknik Sultan Idris Shah (PSI) di sini.

i-FB digerakkan berteraskan tiga komponen utama iaitu santuni komuniti, sayangi alam dan selamatkan makanan.

Transformasi itu turut melibatkan kerjasama beberapa kementerian termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, selaras dengan matlamat pembangunan mampan dan dasar keterjaminan makanan negara.

Menurut data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari.

Malah, laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) mendapati satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia, bersamaan 1.3 bilion tan metrik, dibazirkan setiap tahun.

Sehubungan itu, lebihan makanan yang masih selamat dan berkualiti akan disalurkan kepada rangkaian Foodbank bagi membantu golongan memerlukan, selain mengurangkan jumlah sisa makanan ke tapak pelupusan.