fb fb fb fb fb

Hutang baharu berkurangan, 2025 diunjur RM80 bilion

Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat/Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Oktober –Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan jumlah hutang negara meskipun unjuran jumlah hutang baharu kian menurun daripada sekitar RM100 bilion pada 2022 kepada hanya RM80 bilion pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan MADANI telah mewarisi bebanan hutang yang menggunung.

“Paras hutang tahun lalu adalah pada RM1.2 trilion atau lebih 64 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti, paras hutang telah mencecah RM1.5 trilion atau 80 peratus KDNK. Bagi setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen perlu dibelanja hanya untuk membayar faedah hutang; dan ini tidak termasuk hutang pokok,” jelasnya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Katanya hutang akan terus meningkat selagi tidak dikurangkan defisit dan langkah-langkah tegas serta berperingkat telah diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten.

“Daripada 5.5 peratus (2022); kepada 5 peratus (2023); seterusnya anggaran 4.3 peratus (2024); dan unjuran 3.8 peratus (2025) atau dengan erti kata lain, jumlah hutang baharu yang kian menurun daripada sekitar RM100 bilion (2022); kepada lebih RM90 bilion (2023); seterusnya dianggar RM85 bilion (2024 dan unjuran RM80 bilion (2025), jelas Perdan Menteri.

Menurut Anwar, adalah lebih bermakna sekiranya kerajaan dapat mengurangkan kadar defisit dan pinjaman baharu secara berperingkat setiap tahun. Ia bagi membolehkan negra mencapai sasaran jangka sederhana FRA iaitu defisit fiskal pada kadar 3 peratus dan paras hutang bawah 60 peratus KDNK.

Ini selaras Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) telah menetapkan penanda aras yang jelas terkait pengurusan hutang dan defisit fiskal.

Mengenai kutipan hasil, Anwar berkata reformasi fiskal tahun hadapan akan lebih agresif mencakup peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi hanya kepada majoriti rakyat yang memerlukan.

Katanya, tahun ini kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi iaitu kepada RM322 bilion ketimbang RM308 bilion. Pada 2025, kerajaan menjangkakan, kutipan hasil terus meninggi kepada RM340 bilion.

“Kita bersyukur peningkatan hasil yang nyata. Kendatipun begitu, asas hasil masih rendah, malah antara terendah sementara perbelanjaan subsidi memuncak ke paras tertinggi di rantau Asia”, katanya.

Bagi menangani kemelut tersebut, Perdana Menteri berkata, asas hasil perlu diperluas memandangkan cukai yang dipungut masih antara terendah, iaitu 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 ketimbang negara tetangga seperti Thailand (16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus).

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan terpaksa menanggung subsidi, insentif dan bantuan mencecah RM80 bilion tahun lalu; yang turut dinikmati golongan kaya dan warga asing.

MAT YUNUS BIN SABRI