
KUALA LUMPUR, 18 Januari -Penjagaan dan pemuliharaan hutan merupakan aspek penting dalam menjamin kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan manusia, dan tidak boleh dianggap sebagai isu alam semula jadi semata-mata.
- Pembangunan tidak terkawal mengancam hutan, mengurangkan biodiversiti dan khazanah alam Malaysia.
- Kemusnahan hutan menjejaskan bekalan air bersih dan meningkatkan risiko banjir lumpur serta pencemaran sungai.
- Pembangunan mesti seimbang dengan pemulihan berterusan seperti penanaman semula untuk hasil menang-menang.
- Masyarakat perlu terlibat melalui amalan 3R, sokongan penanaman pokok dan pendidikan alam sekitar awal.
Jurulatih Kanan 1 Kumpulan Pendekar Rimba, Abdul Rahim Ahmad Damanhuri berkata, hutan berperanan sebagai sumber biodiversiti, bekalan air bersih serta benteng semula jadi daripada bencana seperti banjir dan hakisan tanah, namun kini semakin terancam akibat pembangunan tidak terkawal.
“Jika kita terlalu mementingkan ekonomi atau pembangunan tanpa kawalan dan pemulihan, hutan akan habis begitu sahaja. Pembangunan seharusnya bersifat menang-menang, dengan pemulihan seperti penanaman semula perlu dilaksanakan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas segmen khas mengenai peranan hutan dalam kelestarian alam dan manusia, di Angkasapuri.
Menurut Abdul Rahim, Malaysia sebagai antara negara mega biodiversiti dunia berisiko kehilangan khazanah alam yang tidak ternilai, sekiranya langkah perlindungan tidak diperkukuh.
Beliau menjelaskan, kemusnahan hutan memberi kesan langsung terhadap sumber air dan keselamatan penduduk.
“Hutan menapis air hujan secara semula jadi. Tanpa hutan, risiko banjir lumpur meningkat dan sungai mudah tercemar, sekali gus menjejaskan bekalan air minuman serta ekosistem sungai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan masyarakat amat penting dalam usaha pemuliharaan hutan, antaranya melalui amalan 3R, sokongan terhadap kempen penanaman pokok serta pendidikan alam sekitar sejak usia muda.
“Kesedaran perlu bermula dari rumah dan sekolah. Apabila kanak-kanak faham kepentingan menjaga alam, nilai itu akan kekal sehingga dewasa,” katanya lagi.