fb fb fb fb fb

Hukuman mati mandatori dimansuhkan- Wan Junaidi

PUTRAJAYA, 10 Jun- Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

"Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu", katanya.


(Foto hiasan)

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

Beliau turut mengesahkan Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu (1) kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

"Kajian lanjut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian serta Jabatan berkepentingan.

"Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada Kerajaan nanti', katanya.

Wan Junaidi juga menjelaskan Kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini.

"Antaranya pewujudan prosedur prapenghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman dan pembangunan Garis Panduan Penghukuman,

Turut akan dikaji ialah penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan prinsip keadilan restoratif.

"Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan memastikan hak semua pihak terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik”, katanya.

Media Baharu