WASHINGTON, 8 Mac-Seorang lelaki dari Carolina Selatan yang disabitkan kesalahan membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya telah dihukum mati oleh skuad penembak pada Jumaat.
Ia menjadikannya sebagai hukuman mati pertama seumpamanya di Amerika Syarikat dalam tempoh 15 tahun, menurut pegawai penjara.
Brad Sigmon, 67, yang mengaku membunuh David dan Gladys Larke pada tahun 2001 dengan sebatang kayu besbol, dihukum mati oleh skuad penembak tiga orang di Penjara Broad River Correctional Institution di ibu negeri Columbia, kata jurucakap penjara Chrysti Shain.
Sigmon telah meminta Mahkamah Agung untuk menangguhkan hukuman matinya pada saat akhir, tetapi permohonan itu ditolak.
Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster, turut menolak rayuannya untuk pengampunan.
Sigmon diberikan pilihan antara suntikan maut, skuad penembak atau kerusi elektrik sebagai kaedah hukuman matinya.
Gerald "Bo" King, salah seorang peguamnya, berkata bahawa Sigmon memilih skuad penembak selepas berada dalam situasi "mustahil" yang memaksanya membuat keputusan yang "sangat kejam" mengenai cara dia akan mati.
"Jika dia tidak memilih suntikan maut atau skuad penembak, dia akan mati dalam kerusi elektrik lama Carolina Selatan, yang akan membakar dan memasaknya hidup-hidup," kata King.
"Tetapi alternatifnya juga sama kejam," tambahnya. "Jika dia memilih suntikan maut, dia berisiko mengalami kematian perlahan seperti yang dialami oleh tiga lelaki yang dihukum mati di Carolina Selatan sejak September lalu."
Pelaksanaan hukuman mati oleh skuad penembak terakhir di Amerika Syarikat berlaku di Utah pada tahun 2010. Dua lagi hukuman mati turut menggunakan kaedah sama juga telah dilaksanakan di negeri terbabit pada tahun 1996 dan 1977.-AFP.