KUALA LUMPUR, 28 Januari - Amaran hujan berterusan di dua negeri dijangka berlaku hingga Khamis ini (30 Januari).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan negeri yang terlibat adalah Sarawak yang dijangka menerima hujan berterusan hingga Khamis manakala Sabah hingga Rabu (29 Januari).
"Di Sarawak, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri) sehingga Khamis.
"Sementara Kapit (Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru dan Marudi) diramal menerima hujan berterusan pada tahap waspada," menurut MetMalaysia.
Kawasan terlibat di Sabah meliputi Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat pula dijangka menerima hujan berterusan pada tahap waspada hingga Rabu.