fb fb fb fb fb

Hubungan Malaysia-Jepun, rasmi dinaik taraf kepada perkongsian komprehensif strategik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama rakan sejawatnya, Fumio Kishida (kanan) / Foto JPM

TOKYO, 16 Disember - Hubungan dua hala Malaysia dengan Jepun secara rasmi dinaik taraf kepada perkongsian komprehensif strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis ia akan membuka lebih banyak peluang kerjasama terutama dalam beberapa bidang baharu.

Katanya, ini sekali gus, memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Kami kagum dengan komitmen Jepun bukan hanya kepada Malaysia, malah rantau ASEAN. Jepun telah sekian lama menjadi rakan kerjasama Malaysia dalam pelbagai bidang terutama perdagangan dan pelaburan.

"Kami hargai peranan dimainkan Jepun termasuk melabur dalam sektor awam," katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Fumio Kishida, disertai delegasi negara masing-masing dalam rangka lawatan kerja lima hari Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun.

Anwar dan Fumio kemudian menyaksikan Majlis Pertukaran nota berkaitan bantuan geran keselamatan.

Menerusinya, Jepun akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan kepada Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani nota berkenaan bagi pihak Malaysia.

Manakala Jepun diwakili Menteri Luarnya, Yoko Kamikawa.

Turut berlangsung pertukaran memorandum kerjasama bidang angkasa antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun (JAXA).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN