
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) akan diperluas bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan serta pemeriksaan berteknologi tinggi, termasuk Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
- HSOP kini melibatkan nefrologi, pengimejan radiologi dan kardiologi serta berpotensi diperluas kepada perkhidmatan lain pada masa hadapan.
- Penggunaan HSOP membantu mengurangkan perbelanjaan modal dan membolehkan kerajaan mendapatkan perkhidmatan daripada hospital swasta.
- Menteri menekankan keperluan mempertingkatkan kolaborasi antara sektor awam dan swasta untuk meningkatkan akses dan kualiti rawatan.
- Data tahun lalu menunjukkan purata menunggu MRI turun daripada 23 minggu kepada 18 minggu, pengurangan sekitar 22 peratus.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini program HSOP melibatkan beberapa perkhidmatan termasuk nefrologi, pengimejan radiologi dan kardiologi, dan berpotensi diperluaskan kepada perkhidmatan lain pada masa hadapan.
“Ya, jawabannya adalah ya. Memang kita menggunakan HSOP kerana ia sekaligus akan mengurangkan capital outlay dan mengizinkan kita mendapatkan perkhidmatan daripada hospital-hospital swasta.
Ini yang saya maksudkan apabila saya mahu mempertingkatkan kolaborasi antara sektor awam dan swasta,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, kerjasama dengan hospital swasta membolehkan kerajaan memanfaatkan kepakaran serta peralatan perubatan berteknologi tinggi tanpa perlu menanggung kos modal yang besar.
Tambah beliau, data tahun lalu menunjukkan purata tempoh menunggu bagi pemeriksaan MRI berjaya dikurangkan daripada 23 minggu kepada 18 minggu, iaitu penurunan sekitar 22 peratus.