fb fb fb fb fb

HSNZ laksana program derma darah di 30 masjid di Terengganu sepanjang Ramadan

Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu mempergiat program derma darah bagi menampung keperluan ketika bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri

KUALA NERUS, 6 Mac - Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu mempergiat program derma darah bagi menampung keperluan ketika bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Program itu akan dilaksanakan di 30 buah masjid terpilih di seluruh Terengganu, sepanjang Ramadan.

Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Roslina Remli berkata kebiasaannya sebanyak 1,000 hingga 1,500 beg darah diterima setiap bulan, namun pada Februari hingga semalam (Selasa), hanya sekitar 800 beg darah berjaya dikumpul.

"Memandangkan bulan puasa beberapa hari lagi jadi kita sasar 1,500 hingga 2,000 beg darah untuk kita tampung semasa bulan puasa dan selepas raya, stok akan menurun dengan cepatlah sebab penggunaan sangat banyak sebab terdapat peningkatan kes-kes pembedahan kemalangan yang memerlukan darah dan juga kes pendarahan lepas bersalin," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Jom Derma Darah sempena ulang tahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke-72, di sini.

Tambah Dr Roslina, tahun ini, sebanyak 24,000 beg darah disasar dapat dikutip berbanding 23,000 beg tahun lalu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN