fb fb fb fb fb

Hsien Loong mahu hubungan akrab Malaysia-Singapura terus mekar - PM Anwar

Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong/ Facebook Lee Hsien Loong

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik harapan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong yang mahu hubungan kedua-dua negara terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan baharu negara itu.

Anwar berkata, Hsien Loong menerusi panggilan telefon petang tadi memaklumkan kepada beliau secara rasmi akan menyerah tampuk pentadbiran kepada Timbalannya, Lawrence Wong, minggu depan.

"(Hsien Loong) menzahirkan harapan melihat hubungan akrab Malaysia-Singapura terus mekar di bawah kepemimpinan baharu negara itu.

"Saya sambut baik harapan PM Lee dan sedia untuk terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Singapura di bawah pentadbiran Lawrence," kata Anwar menerusi Facebook beliau.

Perdana Menteri turut berkesempatan mengundang Hsien Loong dan isteri, Ho Ching untuk datang ke Malaysia dalam masa terdekat.

"Saya dan Azizah (Wan Azizah Wan Ismail) amat menghargai hubungan peribadi yang erat bersama PM Lee dan Ho Ching. Bicara kami dalam setiap pertemuan sentiasa berpaksikan sahabat kepada sahabat.

"Selamat maju jaya sahabat. Semoga masa depan yang cemerlang terus menanti Malaysia dan Singapura, Insya-Allah," katanya.

SITI AISHAH MD ISA