fb fb fb fb fb

HRAA: JPJ Perlis keluarkan 1,392 notis saman

Foto RTM

KANGAR, 27 Jun- Bahagian Penguatkuasa JPJ Perlis mengeluarkan sebanyak 1,392 notis saman ke atas pemandu yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya, sepanjang 17 hari Operasi Khas Musim Perayaan Bersempena Sambutan Hari Raya Aidiladha (OPS HRAA) sejak 10 Jun 2024 hingga semalam.

Tindakan saman diambil hasil pemeriksaan terhadap 12,900 buah kenderaan dalam operasi yang akan berakhir pada 30 Jun ini.

Menurut Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya, kesalahan tertinggi melibatkan pelesenan kenderaan motor (LKM) yang tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans dengan 702 kes.

"380 kes lagi berkaitan sembilan kesalahan utama seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal berhenti di lampu isyarat merah, memotong di dua garisan berkembar dan kesalahan berkaitan membawa muatan secara berbahaya," kata kenyataan itu.

Selain itu, 211 kes melibatkan pelesenan pemandu iaitu tiada lesen memandu atau lesen memandu telah tamat tempoh.

Kesalahan lain berkaitan teknikal iaitu sebanyak 99 kes seperti penggunaan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai struktur asal kenderaan.

Operasi Khas Musim Perayaan Bersempena Sambutan Hari Raya Aidiladha dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya di negeri Perlis.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM