fb fb fb fb fb

HPPK2024 sudah tarik 30,000 pengunjung

Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA

BUTTERWORTH, 2 November- Hampir 30,000 pengunjung membanjiri program Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 (HPPK2024) yang berlangsung sejak semalam di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang.

Program berkenaan bertujuan mengiktirafan peranan  penjaja dan peniaga kecil  dalam ekonomi negara. 

Program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Peniaga Kecil kepada 20 usahawan yang telah berjaya meningkatkan perniagaan mereka daripada peringkat kecil hingga mencapai nilai jualan lebih RM300,000 setahun. 

Pengiktirafan berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong usahawan kecil untuk terus maju dan berdaya saing.

Satu lagi inisiatif penting yang diumumkan adalah pelancaran Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030), dengan tema "Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi Negara." 

Dasar tersebut bertujuan memperkasa penjaja dan peniaga kecil melalui persekitaran perniagaan yang inklusif dan holistik, sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, turut hadir dan menyatakan komitmen KUSKOP untuk terus memperkasakan penjaja dan peniaga kecil sebagai penyumbang utama kepada kestabilan ekonomi negara.

Turut hadir ialah wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, serta rakan strategik HPPK2024, termasuk Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dan Gabungan Persatuan dan Penjaja Malaysia (G3PM).

HPPK2024 berlangsung selama tiga hari akan berakhir esok.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE