fb fb fb fb fb

Hospital Kemaman baharu, dijangka siap Ogos 2024

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa

KEMAMAN, 27 November- Projek pembinaan Hospital Kemaman baharu dijangka selesai sepenuhnya pada Ogos tahun hadapan.

Hospital yang dibina di Kijal itu, kini siap 75 peratus dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM450 juta.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata hospital tersebut dilengkapi dengan 300 unit katil, lapan dewan bedah, unit rawatan rapi, kompleks klinik pakar dan klinik rawatan harian.

Manakala, Hospital Kemaman sedia ada tetap akan digunakan dan dijadikan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kemaman.

"Sebenarnya Hospital Kemaman ini kita ada satu projek besar iaitu projek Hospital Kemaman yang baharu. Jadi projek ini agak besar akan dilengkapi dengan pelbagai peralatan yang baik dan canggih. Hospital Kemaman sedia ada akan dijadikan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kemaman yang memberi keutamaan yang lebih spesifik", katanya kepada media selepas mengadakan Lawatan ke Klinik Kesihatan Air Putih, Kemaman, Terengganu.

Sementara itu, tiada halangan bagi pesakit yang menerima rawatan di Wad Hospital Kemaman untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 2 Disember ini.

Bagaimanapun, ia tertakluk sekiranya kesihatan mereka stabil dan perlu mendapat kelulusan daripada pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

Dr Zaliha berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membawa pesakit yang layak mengundi ke pusat pengundian.

"Kalau dia layak mengundi dan boleh mengundi, maka kita akan membantu dan bekerjasama dengan SPR, memudahkan mereka untuk mengundi di pusat pengundian", katanya.

ROSLINA BINTI DIN