fb fb fb fb fb

Hormat nilai fitrah insan dan sensitiviti umat Islam - Menteri Agama

Tangkap layar daripada video tular berhubung larian berkenaan

PUTRAJAYA, 6 Oktober- Semua pihak dinasihat untuk sentiasa menghormati dan memahami sensitiviti umat Islam, khususnya dalam aspek ketetapan hukum hakam serta nilai-nilai fitrah insan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata sebarang acara atau program yang berpotensi mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan.

Sehubungan itu beliau menyokong penuh ketegasan Kerajaan Negeri Johor yang telah meminta siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu pelancong berpakaian songsang ketika acara larian di negeri tersebut, baru-baru ini.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum kenyataan media Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bertarikh 5 Oktober 2024 yang jelas menyatakan bahawa acara larian tersebut tidak dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor mahupun mana-mana agensi Kerajaan Negeri Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menyeru semua pihak supaya memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu tersebut dengan adil dan saksama.

"Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara," katanya.

Terdahulu, Polis Johor mengesahkan penahanan tiga lelaki dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang berlangsung di Kota Tinggi pada Jumaat lepas.

Ketua Polis negeri Datuk M. Kumar berkata tangkapan itu melibatkan dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun di sebuah hotel di Kota Tinggi, malam tadi.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA