fb fb fb fb fb

HLN 2024: Tingkat kesedaran mengenai keperluan persekitaran selesa

Kesedaran mengenai keperluan persekitaran hidup yang indah, selamat dan berfungsi melalui pembangunan landskap bakal dipertingkat menerusi penganjuran Hari Landskap Negara (HLN) 2024 / Foto FB Jabatan Landskap Negara

SHAH ALAM, 26 Mei - Kesedaran mengenai keperluan persekitaran hidup yang indah, selamat dan berfungsi melalui pembangunan landskap bakal dipertingkat menerusi penganjuran Hari Landskap Negara (HLN) 2024.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Landskap Negara, Dr Mazifah Simis berkata selari tema 'Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI', ia turut menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, industri itu merangkumi perkhidmatan, pembuatan, pengeluaran bahan tanaman dan peruncitan produk landskap.

Sebanyak 150 lot jualan dan pameran yang dibuka sempena HLN 2024 turut memberi peluang pelbagai agensi dan peniaga kecil mempromosi produk masing-masing.

"Memang ada sasaran, objektif kita perlu capai iaitu sebanyak 50,000 pengunjung di sepanjang tempoh HLN bermula daripada 24 Mei sehingga 2 Jun. Dua hari lepas walaupun hujan renyai tetapi kita sudah capai hampir 2,000 dan saya rasa akan lebih meningkat kerana pada waktu ini kita nampak dari pagi lagi sudah ada pengunjung, insyaAllah akan bertambah pada waktu malam kerana kemeriahan waktu malam sangat berbeza," katanya.

Sementara itu, rata-rata pengunjung ditemui teruja menyaksikan binaan landskap yang indah serta mendapat cetusan idea baharu dalam pembinaan landskap.

"Memang seronok tengok, cantiklah memang cantik kepada mereka yang belum hadir, datanglah ke sini kebetulan cuti sekolah memang sesuailah bawa anak-anak ke sini," kata Arzurai Omar.

"Elok diteruskan dan diperluaskan sebab HLN ini memberi pengetahuan dan idea kepada masyarakat dalam bidang landskap untuk diri sendiri dan masyarakat," kata Rafil Mokhtar.

"Saya tidak pernah tahu mengenai HLN ini, ingat landskap biasa-biasa, sekali masuk lainlah, menarik dan cantik kawasan ini dengan hiasan-hiasan landskap yang menarik, baru kita tahu landskap itu macamana," kata Amira Hashim.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN