fb fb fb fb fb

Hina Islam atau agama lain, tindakan tegas menanti pelaku - Dr. Na'im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar/BERNAMA

ALOR SETAR, 16 Mac- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap sebarang penghinaan terhadap agama Islam.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam tidak boleh dibiarkan seiring dengan ajaran Islam yang turut melarang perbuatan menghina agama lain.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira agama dan mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan atau ketidaktenteraman dalam negara akibat penghinaan agama.
 
"Sesiapa sahaja yang menimbulkan kecelaruan dan ketidaktenteraman dalam negeri akibat daripada menghina mana-mana agama, tidakan tegas akan diambil.

Saya mengajak seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam, untuk kita bina kesatuan dan perpaduan. Jika berlaku huru-hara disebabkan penghinaan agama, tidak memberikan sebarang keuntungan kepada sesiapa," kata Dr. Na'im kepada pemberita, hari ini.
             
Beliau ditemui selepas menziarah mudir Pondok Mustaq Sungai Jagong, Abdul Rahim Abdul Rahman di Pendang, Kedah.

Guru-guru pondok juga perlu memainkan peranan untuk mengajak masyarakat untuk jangan sesekali terlibat dalam sebarang usaha untuk menghina mana-mana agama.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM