Hina Agama: Tangani dengan hikmah dan bijaksana

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Sebarang bentuk penghinaan terhadap agama tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selesaikan isu penghinaan agama secara adil dan berlandaskan kepastian fakta sebelum mengambil tindakan.
  • Kebebasan bersuara mesti diamalkan secara bertanggungjawab, bukan untuk memfitnah atau menghasut.
  • Islam sebagai agama Persekutuan menuntut penghormatan dalam kerangka perundangan dan etika sosial.
  • Umat Islam digalakkan bertindak dengan hikmah dan bijaksana, mengelakkan provokasi dan pembalasan.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Azri Bhari berpendapat, isu hina islam ini perlu diselesaikan dengan adil tanpa provokasi.

“Suratul Hujurat ayat yang keenam wahai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidiklah kebenarannya Fatabayyanu perkataan di dalam ayat tersebut maka perkara ini perlu diselesaikan dalam konteks seadil-adilnya dan juga memastikan kesahihan fakta dalam perkara tersebut,” katanya.

Jelas beliau, meskipun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun ia tidak memberi hak mutlak kepada mana-mana warganegara untuk tidak menghormati agama lain.

Ia perlu diamalkan secara bertanggungjawab, bukannya kebebasan untuk memfitnah atau menghasut.

Tambah beliau, Islam diiktiraf sebagai agama bagi Persekutuan bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, menjadikannya tonggak utama dalam kerangka perundangan Malaysia.

“Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat ke-108, janganlah kamu mencela sembahan yang mereka sembah selain daripada Allah, nanti mereka mencela Allah secara melampaui batas tanpa ilmu.

“Jadi jelas di sini prinsip Islam jangan mulakan provokasi dan jangan balas provokasi tersebut,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam dinasihatkan agar tidak melakukan provokasi bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dan menanganinya dengan hikmah serta bijaksana.