fb fb fb fb fb

Himpunan Solidariti Palestin mesej protes kepada Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos-Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Himpunan Pembebasan Palestin Ahad ini sebagai mesej protes terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Menurutnya, kenyataan turut dikeluarkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menggesa semua pihak tanpa mengira latarbelakang agama mendukung perjuangan demi membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka.

"Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memberi kenyataan di Dewan Rakyat dan Kabinet telah bersepakat mengecam keganasan berterusan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Ismail Haniyeh.

"Kita juga mengadakan perhimpunan untuk menyokong perjuangan Palestin dan Gaza", katanya kepada media selepas menghadiri Majlis bacaan Yasin dan Tahlil yang berlangsung di sini, hari ini.

Perhimpunan anjuran kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) itu akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Bacaan Tahlil, Yasin dan Doa Selamat bersempena Hari Pahlawan di Masjid Negara yang dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Rabu lalu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyehdan pengawal keselamatannya terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu di sebuah bangunan yang merupakan lokasi majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran,Masaoud Pezeshkian.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD