KUALA LUMPUR, 19 September - Tanggal 20 September adalah tarikh keramat buat para pejuang reformis kerana pada waktu itulah tercetusnya detik kebangkitan rakyat memperjuangkan keadilan.
Ia juga hari bersejarah buat Malaysia kerana pada waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditangkap dan seterusnya dipenjarakan susulan perjuangannya menentang kebobrokan pemerintah ketika itu yang didakwa diselubungi rasuah, nepotisme dan kronisme.
Genap 26 tahun perisitiwa itu, satu himpunan yang dinamakan Himpunan Gerakan Rakyat yang diusahakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan mahasiswa akan diadakan di Stadium Axiata Bukit Jalil esok yang bermula pada 8 malam.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata himpunan itu, yang bertema ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI', dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi iaitu pada 20 Sept 1998.
"Himpunan tersebut akan mempamerkan suara-suara pemegang taruh yang telah berjaya menghidupkan gerakan reformasi ini sehingga melahirkan ruang kerjasama merentasi parti dan membuahkan sebuah Kerajaan Perpaduan.
"Kita tidak berpeluang sebelum ini untuk menyambut hari 20 September maka kita sambut pada himpunan itu untuk menghargai perjuangan dan pada masa sama, menggunakan platform ini untuk membina masa depan yang jauh lebih memperkasakan rakyat," katanya kepada media menerusi temu bual dalam talian.
Beliau berkata tumpuan utama himpunan itu bukan sekadar acara 'walk down memory lane' bagi menghargai semangat mereka yang berani ke depan dalam usaha reformasi tetapi untuk semua pihak bersama-sama merangka dan membina masa depan negara yang lebih meyakinkan.
Menegaskan makna reformasi bersifat inklusif perlu diterjemah dalam menuntut perubahan khususnya kepada golongan muda yang berdepan cabaran antaranya pascapandemik COVID-19 dan ledakan teknologi media sosial, Nurul Izzah berkata adalah penting mereka diberikan ruang serta peluang untuk mengasah bakat seperti program peningkatan kemahiran bagi memastikan mereka mampu meneruskan agenda negara.
"Menjiwai semangat Malaysia MADANI ini bukan semata-mata membangunkan infrastruktur atau bangunan pencakar langit tetapi untuk kita membina satu tamadun yang mampu meletakkan Malaysia sebagai negara terbaik di mata dunia," kata Pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) itu.
Bagi seorang daripada penggerak awal gerakan reformasi iaitu Mustaffa Kamil Ayub, Himpunan Gerakan Rakyat akan memberi peluang kepada semua terutama generasi muda untuk menghayati susur galur perjuangan yang berlaku hampir tiga dekad lepas.
“Waktu itu antara moto utamanya ialah ‘suara rakyat suara keramat’ jelas membuktikan bahawa suara rakyat itu akhirnya akan mendapat tempat dalam perubahan sosiopolitik negara.
“Peristiwa pada September 1998 itu, yang kini telah 26 tahun, telah melakukan satu anjakan asas paradigma, membawa suatu pemikiran baharu dalam politik negara kita di mana semua pihak hari ini menyebut soal kepentingan rakyat sebagai asas perjuangan.
"… dan ini saya fikir kejayaan reformasi yang menjadikan sesuatu yang bersifat kepedulian rakyat itu sebagai sesuatu yang penting dalam mana-mana perjuangan,” katanya.
Bekas Naib Presiden PKR itu berkata perhimpunan tersebut juga akan membawa generasi muda untuk lebih memahami perjuangan reformasi yang memberi natijah positif kepada pembangunan politik Malaysia termasuk dari sudut ekonomi dan sosiobudaya.
Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berharap himpunan itu dapat mengingatkan setiap ahli politik dan masyarakat untuk terus bekerjasama memastikan aspirasi berkepentingan negara diletakkan sebagai antara kepentingan sejajar dengan elemen reformasi.
Beliau berkata selain itu, masyarakat perlu melihat aspirasi yang berkepentingan politik negara seperti perhimpunan tersebut secara positif memandangkan ia melibatkan peristiwa penting di dalam negara.
“Sama ada ia perlu menjadi himpunan ke hadapan bergantung kepada apakah sebenarnya pencapaian yang telah dibangunkan oleh Kerajaan MADANI dan perkara-perkara yang berkepentingan rakyat yang boleh digembar-gemburkan.
“(Kejayaan-kejayaan itu) Dijadikan sebagai antara petunjuk, penanda aras atau pemacu Kerajaan Perpaduan khususnya Kerajaan MADANI untuk menunjukkan bahawa semangat reformasi itu adalah satu semangat yang berkepentingan masyarakat dan rakyat selain berlandaskan prinsip asas kerangka identiti negara yang sebenarnya iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.- BERNAMA