KUALA LUMPUR, 2 Februari- Masyarakat antarabangsa harus menghentikan sebarang hiprokrasi yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia, namun berdiam diri dalam isu penindasan penduduk Palestin oleh Israel, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, Malaysia tetap mengekalkan pendirian untuk tidak menyokong sebarang aktiviti pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman terhadap bayi dan wanita.
"Membenarkan Israel meneruskan pencerobohan ini tanpa sebarang hukuman, sebenarnya mengerikan. (Ia) seolah-olah masyarakat antarabangsa tidak mempunyai peraturan.
"Mereka (Israel) mengambil kedudukan seperti kuasa besar di dunia. Pembunuhan beramai-ramai (seakan-akan) telah diterima," katanya dalam Temu Bual Khas Perdana Menteri Bersama Al Jazeera.
Tambahnya, Malaysia sebagai negara demokrasi menyeru masyarakat dunia agar tidak menilai daripada tragedi pada 7 Oktober lalu sebagai alat membenarkan kekejaman zionis ke atas Palestin.
Sebaliknya, menilai secara keseluruhan dan mengambil kira penjajahan, pencerobohan, keganasan Israel yang dilakukan setiap hari ke atas penduduk negara itu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia juga akan memperkukuh hubungannya dengan beberapa negara termasuk Mesir, Qatar, Arab Saudi dan Turkiye bagi memperluaskan hubungan pelaburan, perdagangan, diplomatik dan pendidikan.
"Saya berharap pada tahun 2024, kita akan mewujudkan hubungan yang lebih baik dengan Mesir, Qatar, dan UAE, dan sudah tentu Arab Saudi, juga Iraq, Iran, Turkiye dalam membina hubungan lebih baik ke negara ini," ujarnya.