
CYBERJAYA, 11 Mac– Orang ramai dinasihatkan dengan agar tidak menyebarkan semula visual tular yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak naskhah Al-Quran di media sosial.
- MCMC memberi amaran penyebaran kandungan menghina agama boleh mencetuskan ketegangan dan menjejaskan ketenteraman awam.
- MCMC tidak akan berkompromi terhadap kandungan menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti isu 3R.
- Hantaran asal dipadam; akaun dipercayai 'Dickie Borneo' tidak dapat dikesan dan MCMC bekerjasama dengan platform untuk maklumat profil.
- Semua kandungan penghinaan agama dipelihara sebagai bukti dan MCMC bekerjasama rapat dengan PDRM untuk tindakan undang-undang tegas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran bahawa tindakan menyebarkan kandungan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.
Menerusi satu kenyataan, MCMC menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian, atau menyentuh sensitiviti isu kaum, agama, dan institusi diraja (3R).
Tindakan tegas boleh dikenakan kepada mana-mana pihak bawah undang-undang sedia ada.
Terdahulu, penyebaran visual insiden tersebut dikesan tular di beberapa platform media sosial, terutamanya di Threads dan Facebook.
“Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat, dipercayai menggunakan nama ‘Dickie Borneo’, tidak lagi dapat dikesan,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, MCMC kini sedang bekerjasama dengan platform penyedia media sosial bagi mendapatkan maklumat profil pemilik akaun tersebut untuk mengenal pasti individu yang terlibat.
Selain itu, hasil pemantauan agensi berkenaan turut menemui beberapa hantaran lain dalam sebuah kumpulan media sosial yang dipercayai melibatkan individu sama.
Kesemua kandungan yang mengandungi unsur penghinaan agama itu telah pun dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan lanjut.
MCMC kini sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan undang-undang yang tegas dan segera dapat diambil terhadap suspek.