fb fb fb fb fb

Hayati nilai hormat, penerimaan untuk kukuhkan perpaduan

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Konsep hormat, faham dan penerimaan perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia bagi mengukuhkan perpaduan dan merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata nilai-nilai itu penting untuk rakyat Malaysia ketika negara meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-67, dan harus menjadi keutamaan setiap lapisan masyarakat di semua peringkat.

“Pada usia negara 67 tahun ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengutamakan konsep faham, hormat, dan terima. Sikap ini penting untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Aaron, pemahaman merupakan kunci kepada penerimaan yang akan menepis segala kegusaran yang timbul daripada perbezaan dan rakyat perlu melihat perbezaan sebagai suatu kepelbagaian dan anugerah istimewa.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K.Saraswathy memohon agar semua pihak menghentikan serta-merta polemik berhubung isu-isu yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

Merujuk kepada isu poster komik berkaitan agama Hindu yang tular baru-baru ini, beliau berkata aspek sensitiviti agama boleh membawa kepada ketegangan dan perpecahan yang tidak diingini. 

"Oleh itu saya menyeru semua pihak untuk terus memupuk sikap saling menghormati dan mengelakkan daripada membuat kenyataan yang boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN