KUALA LUMPUR, 11 Januari - Karnival Havoc Food Festival yang diadakan di tempat letak kereta Sama Square di Setapak bermula 9 Januari lalu, diarahkan henti serta-merta penganjurannya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, arahan itu susulan penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa selain mengganggu lalu lintas penduduk setempat.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan ke pihak berkuasa.
"Saya juga dimaklumkan bahawa permohonan penganjur untuk memohon lesen bagi mengadakan festival tersebut telah ditolak sebanyak dua kali atas sebab permohonan lewat,'' katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengingatkan semua penganjur acara agar tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam.
Sejak 9 Januari lalu, media sosial dipenuhi dengan luahan penduduk sekitar kawasan tersebut yang melahirkan rasa tidak puas hati akibat kesesakan lalu lintas hampir dua jam yang dikatakan berpunca daripada penganjuran karnival itu.