fb fb fb fb fb

Hasrat Malaysia mahu Palestin jadi anggota penuh PBB telah disampaikan - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Harapan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah disampaikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha PBB, Antonio Guterres secara bersemuka dalam pertemuan di New York, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan gencatan senjata di wilayah Gaza yang ketika ini diserang oleh zionis turut disuarakan oleh Mohamad.

"Alhamdulillah, hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB dan gesaan gencatan senjata telah disampaikan sendiri oleh Menteri Luar Negeri (Mohamad Hasan) kepada Setiausaha Agung PBB (Antonio Gutteres) di New York pada 23 Januari 2024.

"Gesaan Malaysia ini seiring dengan kenyataan Antonio Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan," kata Anwar dalam Facebooknya sebentar tadi.

Sehubungan itu, tegas Anwar, Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip iaitu Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.

Tambah beliau, sebarang bentuk keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai serta dipertahan, jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.

"Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.

"Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN
Malaysia ulangi desakan gencatan senjata segera di Gaza

SITI AISHAH BINTI MD ISA