KUALA LUMPUR, 21 November- Hasil Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi berhubung krisis Palestin-Israel menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) bertanyakan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau juga mahu tahu hasil lawatan Perdana Menteri ke Persidangan Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pada sesi sama, Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) bertanyakan Perdana Menteri berhubung pendirian kerajaan Persekutuan terhadap Notis Petisyen yang difailkan dua wanita yang dilihat sebagai usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Sementara itu, pada sesi soal jawab, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kertas siasatan yang dibuka dan kes dituduh di mahkamah bagi kesalahan pengantunan kanak-kanak).
Selain itu, Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mahu Menteri Pertahanan menyatakan status terkini pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sudah tertangguh begitu lama.
Usai sesi soal jawab itu, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa kementerian berkaitan.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt lepas hingga 30 Nov ini.- BERNAMA