Harmoni MADANI: NGO Melayu, India sepakat selesai kemelut secara damai

30 wakil NGO daripada komuniti Melayu dan India hadir dalam program Harmoni MADANI di Putrajaya, hari ini – Foto RTM

PUTRAJAYA, 18 Mac – Usaha meredakan isu antara kaum diperkukuh menerusi program Harmoni MADANI yang mempertemukan 30 wakil badan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua komuniti bersetuju menyelesaikan permasalahan secara damai melalui dialog dan rundingan tanpa pengaruh pihak luar.
  • Kontroversi berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa izin dan perbalahan media sosial perlu dihentikan segera.
  • Dicadangkan rundingan meja bulat dan penubuhan jawatankuasa khas bawah Jabatan Perdana Menteri atau kementerian untuk menyelaras penyelesaian.
  • Satu audit dicadangkan bagi memperoleh data dan fakta tepat mengenai isu tanah serta perkara berbangkit lain.

Program itu berlangsung lebih empat jam bermula 3 petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Kesemua wakil NGO menggesa supaya satu titik penyelesaian damai dicapai segera bagi membuka ruang kepada penyelesaian secara harmoni melibatkan kedua-dua kaum.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sesi dialog berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berunding tanpa dipengaruhi pihak luar.

Menurutnya, langkah itu merupakan permulaan penting ke arah memperkukuh persefahaman antara agama dan kaum di negara ini.

“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain.

“Kedua-dua pihak sepakat untuk menyelesaikan semua permasalahan melibatkan komuniti dan agama,” katanya dalam sidang media selepas program Harmoni MADANI di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N. Sivakumar berkata, kedua-dua pihak hari ini bersetuju bahawa kontroversi yang timbul daripada isu pembinaan rumah ibadat tanpa izin serta perbalahan hangat di media sosial perlu dihentikan segera.

“Kita telah mencapai satu kesimpulan bahawa satu usaha rundingan meja bulat perlu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu-isu berbangkit,” katanya.

Antara cadangan utama yang dipersetujui ialah penubuhan satu jawatankuasa atau mekanisme khas bawah Jabatan Perdana Menteri atau kementerian berkaitan bagi menyelaras penyelesaian isu melibatkan komuniti.

Selain itu, satu audit turut dicadangkan bagi mendapatkan data dan fakta tepat berkaitan isu tanah serta perkara berbangkit lain.

Datuk Sivakumar dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak memburukkan keadaan dengan menyebarkan kenyataan berunsur provokasi di media sosial.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengerusi Concerned Universiti Malaya Indian Graduates (CUMIG), Thanasegar Ramasamy dan wakil Yayasan Kubra, Ustaz Ismail Mina Ahmad.