KEMAMAN, 1 Mei- Kebimbangan kira-kira 300 keluarga di Perumahan Rantau Bukit, Kemaman, Terengganu, mengenai ancaman harimau kumbang sejak seminggu lalu berakhir selepas haiwan liar itu berjaya ditangkap awal pagi tadi.
Harimau kumbang betina seberat antara 30 hingga 40 kilogram (kg) itu berjaya ditangkap kira-kira jam 5.30 pagi dengan menggunakan sebuah perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak Isnin lalu.
(Harimau kumbang yang berjaya ditangkap)
Penduduk, Nor Azlinda Saadon berkata insiden harimau kumbang yang berkeliaran itu nyata menggusarkan penduduk sekitar.
"Syukur alhamdulillah sangat sebab harimau kumbang tu buat macam kawasan dia sendiri. Dia merayau mencari makanan, tambahan bulan puasa ni, ramai budak-budak pergi terawih naik basikal jadi kita risau kalau terserempak. Jadi harapnya tiada lagi keturunan dia datang pula kan. Kucing peliharaan kami pun dah boleh dilepaskan dengan bebas macam biasa.
(Penduduk, Nor Azlinda Saadon)
Pengawal keselamatan, Mohd Yazid Yusri pula menyatakan kelegaan penduduk sekitar selepas tertangkapnya harimau kumbang liar tersebut.
"Harimau dah tangkap rasa selamat la. Hendak ronda di rantau bukit ni pun selamat lah kira, budak- budak sekitar dan penduduk yang hendak ke surau untuk terawah pun rasa selamat," katanya.
(Pengawal keselamatan, Mohd Yazid Yusri)
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan haiwan liar yang diancam kepupusan tersebut berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya haiwan berusia antara enam hingga tujuh tahun itu akan dihantar ke habitat asalnya di sekitar kawasan hutan Terengganu.