fb fb fb fb fb

Hari pertama road-ban, 62 kenderaan langgar peraturan

Datuk Aedy Fadly Ramli

IPOH, 30 Mac- Sebanyak 62 kenderaan barangan dikesan melanggar perintah larangan pemanduan kenderaan barangan (road-ban) pada hari pertama penguatkuasaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata perintah tersebut dilaksana selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April sempena Hari Raya Aidilfitri.

Hasil daripada pengesanan tersebut, pihaknya mengeluarkan 41 notis saman dan sebanyak 21 kenderaan barangan telah diambil tindakan penahanan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"JPJ ingin mengingatkan kepada semua pemilik dan kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan tersebut. Sekiranya terdapat kenderaan yang gagal mematuhi kaedah-kaedah 21.

"Kaedah-Kaedah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan 2025 akan diambil tindakan bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana kompaun sebanyak RM300 atau denda di mahkamah yidak melebihi RM2,000 atau penjara atau tidak melebihi enam bukan jika disabitkan kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan bas di Terminal Aman Jaya di sini.

Sepanjang Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 dilaksana sejak 24 Mac lalu, sebanyak 122,655 kenderaan telah diperiksa manakala 15,217 diambil tindakan.

Dalam tempoh tersebut juga, sejumlah 32,031 notis dikeluarkan dengan 236 kenderaan disita.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa patuh pada peraturan jalan raya ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu pada musim perayaan.

Dalam perkembangan lain susulan kemalangan maut membabitkan empat kenderaan termasuk kenderaan perdagangan treler di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 27 Mac lalu.

Aedy Fadly Ramli memaklumkan pihaknya melaksanakan Laporan Auditan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat kenderaan perdagangan terlibat dan membuka satu kertas siasatan bawah peraturan Akta 715.

Siasatan dibuat atas tiga kesalahan iaitu Seksyen 58(1)(a), Seksyen 58(1)(b) dan Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Sabit kesalahan boleh didenda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Selepas kertas siasatan ini siap pihak JPJ akan mengangkat ia kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dan arahan selanjutnya. Jadi kita akan angkat dulu untuk kita tahu hala tuju proses IP ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai penggunaan tayar klon oleh treler tersebut ketika kemalangan beliau berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.

Bagaimanapun pihaknya sedang menunggu laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian kemalangan 27 Mac lalu, lima termasuk tiga sekeluarga maut manakala lapan lagi mangsa mengalami cedera.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu lori, lelaki tempatan berumur 35 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan akibat tayar hadapan pecah. 

Pemandu treler berkenaan mempunyai enam kesalahan lampau dengan empat daripadanya telah diselesaikan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI