Hari Pers Nasional Indonesia perkukuh kerjasama media serantau

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menghadiri sambutan Hari Pers Nasional 2026 di Banten bersempena lawatan kerja selama tiga hari ke Indonesia.

JAKARTA 10 Februari – Sambutan Hari Pers Nasional Indonesia disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama media serantau, khususnya Malaysia dengan Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan kerjasama media serantau antara Malaysia dan Indonesia menerusi hubungan RTM dan RRI, termasuk inisiatif digital bersama.
  • Pentingnya penyesuaian organisasi media kepada teknologi baharu seperti AI dan platform digital untuk kekal relevan.
  • Peranan media sebagai penyaring maklumat yang sahih, mengelak provokasi dan mengukuhkan hubungan rakyat kedua negara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sambutan berkenaan membuka mata kerana dianjurkan secara besar-besaran dan dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Indonesia.

“Saya kerap mengunjungi Indonesia, tetapi ini kali pertama saya menghadiri sambutan Hari Penyiaran Nasional.

“Sambutan ini memang sangat bermakna dan dihadiri bukan sahaja Menteri Koordinasi, malah beberapa menteri lain. Ia satu acara yang benar-benar membuka mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual penyampai RRI Risty Rustarto dalam program Satu Udara, Dua Negara: The Power of Relay di Jakarta dan turut disiarkan di Nasional FM hari ini.

Teo hadir ke majlis berkenaan mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurutnya, Menteri Komunikasi sememangnya berhasrat untuk hadir, namun komitmen penting menyebabkan beliau diamanahkan sebagai wakil.

Selain menghadiri sambutan tersebut, beliau turut mengadakan lawatan rasmi ke Radio Republik Indonesia (RRI) bagi meneroka kerjasama strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya dalam era digital.

“RRI akan menyambut ulang tahun ke-81, RTM pula ke-80 tahun ini. Jadi kami ibarat abang dan adik. Dalam era digital, banyak ruang untuk kita bekerjasama, sama ada melalui radio, televisyen atau platform digital,” katanya.

Mengulas cabaran media masa kini, Teo menegaskan keperluan organisasi media untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Kita perlu menyesuaikan diri kepada teknologi baharu ini.

“Sebab itu Kementerian Komunikasi memperkenalkan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta untuk membantu industri media meningkatkan kapasiti, menaik taraf peralatan dan menyesuaikan diri dengan teknologi terkini,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan media sebagai penyaring maklumat dalam landskap digital yang dipenuhi kandungan tular dan media sosial.

“Dalam zaman digital ini, media perlu menjadi penyaring maklumat, bukan pembuat kebisingan. Maklumat yang disampaikan mestilah sahih, tidak berunsur provokasi atau kebencian,” jelasnya.

Teo percaya kerjasama antara RTM denga RRI bukan sahaja memberi manfaat kepada industri penyiaran, malah mengukuhkan hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia.

Beliau juga yakin hubungan baik kedua-dua negara akan terus diperkukuh.