(Orang ramai tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu dengan membawa
keluarga mengunjungi pusat beli-belah Pavillion Bukit Bintang
bagi persiapan menyambut perayaan Hari Krismas/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 25 Disember- Rakyat Malaysia diajak untuk merenung dan mengambil iktibar terhadap tragedi yang berlaku di negara ini, termasuk kejadian tanah runtuh di Batang Kali serta musibah banjir yang melanda Pantai Timur.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap, seluruh rakyat dapat mengharunginya secara bersama dengan aman dan harmoni.
"Sesungguhnya ini adalah ujian untuk menilai kasih sayang dan keikhlasan sesama kita," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengucapkan Selamat Hari Krismas 2022 buat semua rakyat khususnya penganut agama Kristian di seluruh negara.
Beliau yang mewakili seluruh keluarga besar di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, berharap semua rakyat beroleh kegembiraan dan menikmati kasih sayang bersama keluarga serta sahabat handai.
(FOTO FB Zahid Hamidi)
"Saya dan seluruh keluarga besar di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengucapkan Selamat Hari Krismas bagi tahun 2022 buat semua rakyat Malaysia khususnya penganut agama Kristian di seluruh negara," katanya dalam hantaran berkenaan.