Hari Keputeraan Ke-78 Tuanku Muhriz dirai penuh istiadat

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memotong kek sempena Hari Keputeraan baginda ke-78 pada Majlis Santapan Negeri di Seremban.

SEREMBAN, 25 Januari – Majlis Santapan Negeri sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah berlangsung dengan penuh istiadat di Klana Resort, Seremban, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Santapan Negeri di Klana Resort, Seremban diadakan penuh istiadat sempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz ke-78.
  • Keberangkatan Tuanku Muhriz diiringi Tunku Ampuan Besar dan anakanda, serta kehadiran Menteri Besar dan barisan EXCO.
  • Acara termasuk Lagu Kebesaran, bacaan doa oleh Mufti Negeri, ucapan Menteri Besar dan upacara memotong kek.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri sempena Hari Keputeraan baginda ke-78.

Keberangkatan baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama anakanda baginda, Tunku Zain Al- ‘Abidin.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama isteri, barisan EXCO Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebesaran Negeri Sembilan, diikuti bacaan doa yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan diikuti dengan ucapan Menteri Besar.

“Bagi pihak kepimpinan negeri serta seluruh rakyat, patik sekali lagi mengambil kesempatan ini melafazkan ucapan selamat menyambut Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang ke-78.

“Patik turut memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar Ke Bawah Duli Tuanku dilanjutkan usia dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa berada dalam rahmat serta maghfirah Allah SWT,” kata Datuk Seri Aminuddin.

Kemuncak majlis diserikan dengan upacara memotong kek Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum majlis santapan dan persembahan diadakan.