PUTRAJAYA, 20 Mac – Pusat Pentadbiran Persekutuan, Putrajaya, diumumkan sebagai Bandar Paling Bahagia dalam kategori Majlis Perbandaran dan Bandaraya sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025, hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata Daerah Telupid, Sabah, pula dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia 2025, menewaskan penyandang terdahulu, Cameron Highlands.
Menurutnya, Indeks Kebahagiaan Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 5 mata, daripada 83.3 peratus pada 2020 kepada 88.84 peratus pada 2025.
"Walaupun kerajaan Madani sentiasa cakna dan komited membangunkan ekonomi negara, kita lebih menitikberatkan kebahagiaan rakyat. Ekonomi yang pesat berkembang tidak bermakna jika rakyat tidak berasa bahagia," katanya selepas merasmikan sambutan berkenaan, di sini.
Kor Ming turut memaklumkan, sebanyak 153 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyertai kaji selidik Indeks Kebahagiaan Bandar tahun ini.
Pengukuran indeks tersebut telah dilaksanakan sejak 2015 melalui sistem MURNInets dan mengikut kriteria yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).