fb fb fb fb fb

Hari Bertemu Pelanggan PPANPs, meriah

Pengarah PPANPs, Abd Rahim Hussin berucap pada Hari Bertemu Pelanggan PPANPs

KANGAR, 10 Mei- Lebih 800 pengunjung memeriahkan Hari Bertemu Pelanggan, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs).

Program tahunan itu merupakan satu pendekatan holistik untuk mendekatkan pelanggan perpustakaan melalui interaksi dan memberi peluang kepada pelanggan berbincang dan memberi maklum balas tentang perkhidmatan perpustakaan supaya mutu perkhidmatan perpustakaan dapat dipertingkatkan.

Menurut Pengarah PPANPs, Abd Rahim Hussin, sepanjang tahun lalu, PPANPs merekodkan kehadiran seramai 271,780 pengunjung yang menggunakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan dimana 143,771 bahan dipinjam.

Selain itu, seramai 3,332 ahli baharu mendaftar di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs).

Sempena Program Hari Bertemu Pelanggan kali ini, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya Kaunter khidmat pelanggan, penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz Pencarian Maklumat : u-Pustaka, kempen daftar ahli perpustakaan, cabutan bertuah, bebas denda lewat pemulangan buku dan sebagainya.

Beliau memaklumkannya pada Program Hari Bertemu Pelanggan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs).

Bersempena program itu juga, turut diadakan Kuiz Pencarian Maklumat : u-Pustaka secara dalam talian dengan penyertaan seramai 678 orang peserta yang terdiri dari pelbagai kaum di seluruh Malaysia.

Ia merupakan kerjasama Badan Kebajikan Sukan dan Rekreasi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE