ISKANDAR PUTERI, 13 Mei- Harga tiket Zoo Johor akan dinaikkan sedikit sempena pembukaan semula taman rekreasi itu yang dijadualkan pada Ogos depan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memberi jaminan kenaikan harga tiket itu amat minimum dan akan mengekalkan status harga tiket zoo termurah di negara ini.
"Ada kenaikan sikit dan juga kita naikkan untuk warga asing. Warga asing kita tambahkan dua kali ganda berbanding harga tiket lama.
"Kerajaan Johor akan tetap menawarkan harga tiket Zoo Johor yang murah kepada warga tempatan, walaupun dijangka berlaku kenaikan sedikit," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Sebelum ini, harga tiket kemasukan ke Zoo Johor adalah RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak, sekali gus menjadi harga tiket zoo termurah di Malaysia dan Asia.
Mohd Jafni turut memaklumkan kerja-kerja menaik taraf zoo itu telah mencapai 80 peratus siap dan berjalan lancar, setakat ini.
Ujarnya, baki 20% membabitkan bumbung bangunan, laluan pejalan kaki dan kerja landskap sedang dilaksanakan.
"Hanya tinggal 20% lagi kerja naik taraf membabitkan bumbung laluan pejalan kaki dan kerja landskap.
"Saya sudah buat tinjauan di Zoo Johor minggu lalu, kerja kritikal termasuk tembok runtuh serta sistem kumbahan sudah selesai dijalankan," katanya.
Sebelum ini, beliau memberitahu kerja-kerja menaik taraf luar jangka itu membabitkan kos tambahan RM1.1 juta.