fb fb fb fb fb

Cuaca panas, harga telur ayam di China meningkat 30%

(Foto arkib RTM)

Beijing, 17 Ogos- Suhu panas melampau di timur China telah menyebabkan harga telur ayam naik kerana ayam bertelur lebih sedikit pada musim panas berbanding biasa, lapor media tempatan.

Menurut saintis, cuaca ekstrem disebabkan perubahan iklim menyebabkan keadaan bertambah sukar apabila suhu meningkat yang turut memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia.

Balai cerap kebangsaan telah mengeluarkan amaran merah pada Isnin berikutan beberapa bandar utama di China telah merekodkan hari terpanas sepanjang tahun ini.

Lapor Hefei Evening News, "Hefei mencatatkan rekod 14 hari suhu melebihi 38 darjah Celsius."

Menurut laporan Jianghuai Morning News pada minggu lalu, petani di bandar Hefei, melaporkan penurunan dalam pengeluaran telur kerana cuaca panas, beberapa kemudahan seperti sistem penyejukan untuk ayam juga telah dipasang.

Pengurangan bekalan di beberapa wilayah menyebabkan harga telur melonjak.


(Seorang pelanggan membeli-belah sayur-sayuran di sebuah pasar raya 
di Fuyang di wilayah Anhui timur China pada 10 Ogos 2022/AFP)


Di Hefei, ibu kota wilayah Anhui, harga telur meningkat sekitar 30%, dan peningkatan harga tersebut juga berlaku di bandar Hangzhou dan Hai'an.

Menurut Jabatan Pertanian AS, suhu yang melampau juga boleh memburukkan lagi produktiviti haiwan, termasuk telur dan susu.

Selain menjejaskan ladang ayam, gelombang haba juga telah memaksa catuan bekalan elektrik di Sichuan dalam menghadapi permintaan yang tinggi.

Penggunaan bekalan elektrik di Wilayah Zhejiang, Jiangsu dan Anhui juga disekat berikutan kebergantungannya dari barat China.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, Wilayah Jiangxi di timur China, berada dalam kemarau yang teruk, mengakibatkan 11,000 orang mengalami kesukaran mendapatkan air minuman manakala lebih 140,000 hektar tanaman rosak. -AFP

Media Baharu