KUALA LUMPUR, 6 Mac - Pelaksanaan pelbagai inisiatif menerusi Program Pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sejak 2011, berjaya menurunkan kos pemasangan sistem solar fotovoltan (PV) sehingga 50 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perluasan pemasangan sistem solar itu telah mewujudkan ekonomi skala pemasangan solar di Malaysia.
"Antara program yang telah dilaksanakan termasuk Program Tarif Galakan (FiT), Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).
"Penurunan kos ini menjadikan pemasangan sistem solar yang sebelum ini hanya mampu dilakukan oleh golongan T20 pada awal pelaksanaan program TBB, kini juga boleh dilakukan oleh golongan M40," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Tambah Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenga dan Transformasi Air, kerajaan akan meneruskan program pemasangan sistem solar untuk meluaskan lagi penggunaan agar kos pemasangan menjadi lebih mampu milik.