
KUCHING, 15 Februari – Rakyat Sarawak terus menikmati subsidi ayam, telur dan beras sempena Ramadan menerusi pelaksanaan Program Semarak Ramadan Peringkat Sarawak serta Jualan Agro ‘Sarawakku Sayang’ di Medan Niaga Satok dekat sini hari ini.
- Program jualan Agro 'Sarawakku Sayang' tingkatkan akses petani tempatan kepada pasaran bandar.
- Inisiatif galakkan penggunaan produk hasil tempatan dan sokong ekonomi komuniti luar bandar.
- Kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti jalankan aktiviti promosi dan pameran produk.
- Acara sediakan platform terus jualan, pelbagai produk segar dan peluang jaringan untuk petani.
Memetik laporan UKAS, inisiatif itu membolehkan tiga barangan asas berkenaan dijual pada harga lebih rendah hasil peruntukan Kerajaan Sarawak yang disalurkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata langkah itu adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup.
“Antara barangan yang ditawarkan termasuk ayam, telur dan beras. Tiga makanan asas ini disubsidi melalui peruntukan Kerajaan Sarawak dan dijual pada harga lebih rendah kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program berkenaan.
Bagi jualan khas berkenaan, sebanyak 300 ekor ayam dan 300 papan telur ditawarkan kepada pengunjung, selain kira-kira 300 set kombo mengandungi beras lima kilogram, gula dan madu keluaran FAMA.
Menurut Fazzrudin, pendekatan memulakan bazar lebih awal berbanding kebiasaan turut memberi manfaat kepada peniaga dan pengunjung.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada para peniaga untuk membuat persediaan awal serta membiasakan diri sebelum memasuki bulan Ramadan sepenuhnya. Pada masa sama, pengunjung juga dapat merasai juadah yang ditawarkan lebih awal,” ujarnya.
Sebanyak 72 lot jualan disediakan meliputi 14 lot minuman, 18 lot makanan bergoreng, 17 lot lauk-pauk, 15 lot kuih-muih dan lapan lot makanan panggang.
Selain itu, seramai 840 peniaga sedia ada di Medan Niaga Satok turut menawarkan pelbagai barangan termasuk ikan, ayam dan daging, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pengguna.
Beliau menegaskan program berkenaan bukan baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak tahun lalu dan diteruskan sebagai komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengembalikan manfaat kepada rakyat, khususnya dalam meringankan beban kos sara hidup,” katanya.