fb fb fb fb fb

Harga beras stabil, Kerajaan pastikan BPT sampai kepada golongan sasar

Foto RTM

KANGAR, 7 Mac – Sejak 1 Mac lalu, lebih 50 peruncit telah menerima dan menjual Beras Putih Tempatan (BPT) yang diperoleh daripada pengilang di Kedah dengan kuantiti melebihi 50 tan metrik.

Antara peruncit yang terlibat ialah Pasar Raya Seri Utama, Pasar Raya Al Naim Sdn Bhd, Pasar Raya Ishah Bintong, serta outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Rakyat Borong Wann.

Menurut Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Mohd Shafizan Wan Nan, bekalan BPT sebanyak 500 pek diterima secara berperingkat sejak 4 Mac dari pengilang di Kedah.

"Setakat ini, Beras Putih Tempatan mendapat permintaan tinggi, khususnya dalam kalangan penduduk sekitar Felcra Lubuk Sireh dan kawasan Titi Tinggi," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan menambah bekalan mengikut permintaan dan memastikan keperluan penduduk sekitar Titi Tinggi terus dipenuhi.

Langkah kerajaan dalam meningkatkan bekalan BPT ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Madani untuk meringankan beban golongan B40.

Dalam usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan telah mempercepatkan pengagihan beras tempatan bagi memastikan ia sampai kepada peruncit dan pengguna dengan harga berpatutan.

Bekalan BPT yang diperoleh ini juga diharap dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap beras import, yang dijual pada harga lebih tinggi.

Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis, Razali Saad, berkata bahawa berbanding 1 Mac lalu, bekalan BPT kini boleh didapati dengan lebih mudah di kebanyakan kedai runcit, pasar raya, Agrobazaar, dan outlet peruncitan lain.

"Kerajaan komited dalam memastikan rakyat, terutama golongan B40, tidak terbeban dengan harga beras yang mahal.

"Oleh itu, langkah mempercepatkan pengedaran beras tempatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang kerajaan untuk menjamin kestabilan bekalan makanan di negara ini," katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD