fb fb fb fb fb

'Hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan' - PM

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar pada Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara)

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Pemberian biasiswa dan pendidikan sekolah berasrama penuh akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ini atas dasar prinsip keadilan sosial yang perlu memberi peluang saksama khususnya melibatkan pemberian bantuan yang lebih kepada golongan yang terpinggir.

"Pengalaman saya sewaktu Menteri Pendidikan dahulu adalah dengan mewujudkan sebuah sekolah di Cheras bagi membantu pelajar miskin.

"Saya memegang pada prinsip bahawa hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat berupaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar akui bahawa majoriti rakyat termiskin ialah kaum Melayu dan Bumiputera, perlu dibantu.

"Tetapi kita juga punyai kelompok kecil kaum lain yang hidup melarat. Maka, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, kaum atau latar belakang perlu mempunyai peluang yang saksama bagi mengecap kejayaan yang bermakna sama ada dalam kerjaya atau perniagaan mereka.

"Kita mahu setiap insan di Malaysia berpotensi meraih peluang yang saksama dalam mewujudkan kemakmuran di negara ini," katanya.

Anwar hari ini mengumumkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Antaranya Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia serta peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

ARTIKEL BERKAITAN:
Masalah keciciran pelajar akan ditangani - Anwar
PM mahu buruh wanita cecah 60 peratus setanding ekonomi serantau
e-tunai RM100 untuk rakyat dewasa dan akses universal untuk semua - Anwar
RM800 juta tambahan infrastruktur bekalan air, elektrik di Kelantan dan Sabah
Ekonomi MADANI: Kerajaan tambah baik skim pinjaman rumah sehingga 120 peratus
Penjawat awam bakal terima bantuan khas RM300
Ekonomi Madani sasar jadikan Malaysia 30 ekonomi terbesar dunia

Media Baharu