KUALA LUMPUR, 9 Disember - Hanya 433 penjaja atau 10 peratus pemegang asal lesen KL Prihatin bawah inisiatif Wilayah Bebas Berniaga masih aktif dan telah perbaharui lesen pasca pandemik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapha berkata, jumlah itu daripada 4,328 lesen yang dikeluarkan bawah KL Prihatin yang dijenamakan semula kepada KL MADANI pada Jun 2023.
Katanya, sebarang permohonan baharu lesen KL MADANI tidak akan dipertimbangkan dan ia hanya dibuka kepada pemegang lesen KL Prihatin untuk permohonan pembaharuan lesen.
"Penjaja-penjaja ini akan dipantau supaya tidak menyebabkan perkara-perkara seperti yang berikut iaitu kesesakan lalu lintas akibat berniaga di lokasi yang tidak sesuai, kebersihan bandar yang terjejas akibat ketidakpatuhan pematuhan penjaja terhadap garis panduan; persaingan ruang awam antara penjaja dan pengguna lain seperti pejalan kaki di kawasan siar kaki atau kaki lima.
"Dalam hal ini, melalui program lestari niaga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dan akan menyusun semula penjaja di ibu kota, termasuk pemegang lesen KL MADANI, dengan memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur," kata Dr Zaliha, di Dewan Rakyat.