Hang Tuah Jaya salur RM600,000 bantuan pendidikan tahun lalu

FOTO RTM

AYER KEROH, 10 Januari – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya membelanjakan RM600,000 bagi program berkaitan pendidikan sepanjang tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKR Parlimen Hang Tuah Jaya belanjakan RM600,000 untuk program pendidikan sepanjang tahun lalu.
  • Program termasuk sumbangan kepada PIBG, bantuan komputer riba, yuran sekolah dan inisiatif kerjasama swasta.
  • 500 pelajar menerima baucar dan bantuan disambut baik oleh ibu bapa; fokus tahun ini kekal pada pendidikan dan kebajikan.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim berkata, jumlah itu merangkumi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bantuan komputer riba, yuran sekolah serta pelbagai inisiatif lain.

“Selain daripada usaha yang kita jalankan ini menerusi inisiatif dan insentif kerajaan, kita juga harus jalinkan kerjasama strategik dengan pihak swasta agar bantuan dan program yang kita laksanakan dapat dilipatgandakan.

“Contohnya hari ini adalah kali kedua untuk program Back to School, sebelum ini kita ada program Ihya Ramadan bersama pihak Mydin. Ini salah satu cara untuk terus bekerjasama dengan pihak swasta,” jelas Adam Adli.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Selamat Kembali ke Sekolah di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di mana seramai 500 pelajar menerima sumbangan baucar wang tunai untuk membeli kelengkapan sekolah dan beg.

Ibu bapa yang ditemui turut menyambut baik bantuan tersebut.

“Ya betul, ia dapat meringankan beban ibu bapa, terutamanya keperluan sekolah anak-anak seperti beg, pakaian dan peralatan sekolah, semua buku termasuk sekali,” kata Cui Tek Fook, seorang juruteknik.

“Memang sangat bagus sebab saya tidak bekerja, suami sahaja yang bekerja, dan anak saya sekolah pagi dan petang. Bantuan ini banyak meringankan beban kami,” tambah Norlina Rasul, seorang suri rumah.

Terdahulu, Adam Adli menegaskan, pada tahun ini, fokus bantuan akan melibatkan pendidikan, kebajikan, kesihatan serta infrastruktur di Parlimen Hang Tuah Jaya.