(Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari)
KOTA BHARU, 17 Julai- Hampir 80 peratus daripada 200,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menceburi bidang keusahawanan selepas bersara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia meliputi pelbagai bidang termasuk perkhidmatan, pertanian dan pelancongan.
"Tugas kita sekarang untuk memastikan bidang keusahawanan yang diceburi itu boleh berjaya. Jadi kita sediakan latihan kepada mereka, pada masa yang sama kita bagi bantuan untuk memastikan kerjaya itu dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada veteran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat bengkel pesara ATM, Nik Mohd Fahizol Nik Mohd Mustapha di Kampung Bechah Kura, Melor, Kota Bharu hari ini, sempena Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan.
(Adly melawat bengkel pesara ATM, Nik Mohd Fahizol Nik Mohd Mustapha di Kampung Bechah
Kura, Melor, KotaBharu hari ini, sempena Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan)
Adly menyerahkan sebuah rumah kepada seorang veteran dan sumbangan RM10,000 untuk menambah baik sebuah kedai roti canai seorang veteran di Pasir Puteh.
Tambah Adly, pihaknya akan terus memperkasa dan meningkatkan taraf sosio ekonomi para veteran.
"Selain itu kita juga terus mengadakan dialog dengan persatuan veteran di seluruh negara untuk mengenal pasti permasalahan yang dialami pesara dan cuba menyelesaikan isu berkaitan dengan sewajarnya demi kebajikan mereka," katanya.
Dalam pada itu Adly memaklumkan lebih 100,000 bekas anggota yang tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di seluruh negara.
Katanya ketika ini, jumlah yang mendaftar dengan JHEV adalah kira-kira 200,000 orang dengan 79,000 daripadanya anggota berpencen dan selebihnya tidak berpencen.