KUALA LUMPUR, 2 Disember- Seramai 29,572 pelawat asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan berjaya dihantar pulang ke negara asal.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan tindakan pemeriksaan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pelawat yang tiba adalah pelawat tulen.
"Perolehan Sistem Saringan Awal Penumpang (Advance Passenger Screening System - APS). Sistem ini membolehkan pengembara disaring lebih awal oleh bilik kawalan dan hanya pengembara tulen yang tidak mempunyai rekod jenayah/senarai syak sahaja akan dibenarkan terbang masuk ke Malaysia," kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar di Parlimen.
Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit mengenai peratusan jumlah kemasukan warga asing di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, setiap pelawat diwajibkan mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) bagi memudahkan pengesanan warga asing
Selain itu, ia untuk memastikan pelawat mempunyai tiket keluar semasa pemeriksaan imigresen untuk mengelakkan mereka tinggal lebih masa.
Jumlah kemasukan pelawat asing suku pertama tahun 2024 adalah seramai 8.62 juta, dengan lima tertinggi dari negara Singapura, Indonesia dan Thailand.