fb fb fb fb fb

Hampir 21,000 tin produk babi dirampas

GEORGE TOWN , 12 Mei - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya merampas hampir 21,000 tin produk babi yang dilabelkan sebagai produk ikan.

Rampasan dibuat di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara.

Taktik itu terbongkar apabila pegawai MAQIS mengesan produk berkenaan diisytiharkan sebagai daging ikan semasa melakukan pemeriksaan rutin.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata syarikat pengimport dari China itu mengimport dengan menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.

Siasatan melalui prosedur persampelan oleh Jabatan Kimia mengesahkan, tin yang kononnya berisi produk ikan merupakan produk berasaskan daging babi.

"Pemeriksaan lanjut di makmal ke atas produk seberat kira-kira tujuh tan yang diimport dari China itu kemudiannya disahkan oleh Jabatan Kimia merupakan produk daging babi," kata Muhammad Ikram di sini. 


("Kita turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM16,000 kepada syarikat pengimport
mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan
Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya lagi)

Kesemua rampasan dianggar bernilai kira-kira RM326,000.

Jelasnya, larangan pengimportan serta membawa masuk produk babi di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi.

Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah babi hidup serta produk berasaskan babi seperti babi salai, sosej babi, babi yang ditinkan dan seumpamanya.

Media Baharu