KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Kerajaan komited memastikan hak rakyat di negara ini sentiasa terpelihara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Azalina ini menunjukkan bahawa agenda reformasi sentiasa dilaksanakan dan diteruskan dengan meminda beberapa undang-undang sedia ada di negara ini.
"Antaranya seperti pemansuhan hukuman mati mandatori melalui pindaan kepada perundangan sedia ada.
“Diikuti pula dengan beberapa pindaan kewujudan akta-akta seperti Akta Audit Negara, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, pindaan kepada Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, dan Akta Insolvensi.
“Kerajaan turut merencanakan pelbagai inisiatif reformasi institusi melibatkan penggubalan undang-undang atau pindaan kepada beberapa akta dan harapannya pada sesi kali ini serta tambahan pada tahun 2025,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) mengenai prestasi agenda reformasi institusi yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, penggubalan rang undang-undang akan diteruskan ke tahun 2025 berkaitan dengan buli termasuk buli siber dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Antaranya, penggubalan rang undang-undang keselamatan dalam talian dan pindaan kepada undang-undang sedia ada; penggubalan Roadmap to My Digital Justice pada tahun 2025 untuk memberikan penekanan kepada pemakaian ‘Artificial Intelligence’ (AI) bagi sektor perundangan.
“Selain itu, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, penggubalan pada rang undang-undang kebebasan maklumat, pindaan kepada Akta Pemegang Amanah, Akta Pemegang Amanah diperbadankan, pindaan kepada Akta Profesional Undang-Undang dan pindaan kepada beberapa undang-undang yang lain,” katanya lagi.
Tambah beliau, kajian pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses.
"Juga pada tahun depan, dilihat undang-undang perkhidmatan bantuan peguaman yang baharu,” jelasnya lagi.
Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan RM209 juta diperuntukan kepada kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berbanding RM194 juta pada tahun lalu.