fb fb fb fb fb

Hafaz al-Quran, solat hajat resepi kejayaan pasangan kembar

Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 24 November- Menghafaz al-Quran dan solat hajat antara resepi kejayaan pasangan kembar meraih Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti di Universiti Pendidikan Sultan (UPSI).

Rossalini Ramzi, 23, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian meraih Anugerah Pelajaran Diraja manakala kakaknya, Rossalina Ramzi, 23, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian berjaya meraih Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti.

Berasal dari Marang, Terengganu, kedua beradik itu sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.96.

Jelas Rossalini, antara faktor kejayaannya adalah ingin membalas jasa ibu bapa.

"Semestinya ibu bapa memberikan sokongan dan dorongan untuk kekal berjaya. Saya ingin membalas jasa pengorbanan mereka dengan memperoleh kecemerlangan. Masa juga memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, saya perlu mengurus masa dengan baik kerana terlibat dalam aktiviti sukan seperti larian," kata Rossalini menerusi kenyataan media UPSI di sini hari ini.

Menurut Rossalina pula, selain belajar bersungguh-sungguh, beliau sentiasa menghormati ibu bapa, kawan dan pensyarah agar setiap ilmu diperoleh itu diberkati Allah SWT.

"Saya juga rajin bertanya kepada pensyarah tentang soalan yang kurang difahami dan menghafaz al-Quran serta sentiasa melakukan solat hajat. Harapan saya semoga dapat menabur bakti dan berjasa kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Saya berharap dapat menjadi seorang pendidik dan memberi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus cemerlang," kata Rossalina.

Jelas bapa kedua beradik itu, Ramzi Mohamad, cabaran yang dihadapi untuk hadir ke konvokesyen itu adalah hujan lebat yang menjadi kekangan kepada beliau sekeluarga.

"Saya risau semasa bertolak dari Terengganu sama ada sempat atau tidak untuk hadir ke majlis istiadat anak-anak, memandangkan keadaan sudah mula banjir. Harapan dan doa itu dipermudahkan Allah SWT untuk melihat kembar naik ke atas pentas," kata Ramzi.

Sementara itu, ibu pelajar terbabit, Che Romaini Che Ramli berkata beliau sentiasa berpesan kepada anak-anaknya agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan tidak meninggalkan solat lima waktu.

Majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 UPSI berlangsung semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Anugerah tersebut disampaikan Canselor, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM