JAWI, 27 Mei- Seorang guru wanita yang dikaitkan dengan dakwaan menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang telah direhatkan daripada tugasan rasmi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan tindakan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan.
"Kes tersebut masih dalam proses siasatan. Maknanya kita ambil tugas memastikan bahawa tiada gangguan dalam siasatan.. maknanya kita keluarkan daripada sekolah (tugasan) supaya siasatan boleh berlangsung dengan lebih mudah, tanpa gangguan.
"Dalam erti kata direhatkan daripada mengajar, tetapi masih menjalankan tugas-tugas sebagai seorang kakitangan awam sementara siasatan diteruskan," katanya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa integriti warga pendidik sentiasa menjadi keutamaan dan sebarang pelanggaran etika akan ditangani secara tegas.
Terdahulu, Fadhlina hadir ke pelancaran Program Dermasiswa STPM anjuran Farm Fresh Berhad di SMK Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap.
Guru wanita berkenaan menjadi perhatian umum selepas tangkap layar perbualan berunsur lucah bersama seorang lelaki yang juga juruteknik pendawaian elektrik tular di media sosial.
Wanita itu turut tampil memohon maaf selepas menerima kecaman hebat netizen.