KUALA LUMPUR, 7 November - Guru yang mengajar kelas Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ditapis dengan teliti sebelum ditempatkan untuk mengajar, selari dengan aliran Sunnah Wal Jamaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, ia bagi memastikan murid-murid dapat memahami sepenuhnya konteks pendidikan KAFA dengan menerima pendidikan agama sebenar serta membimbing murid mengenai Al-Quran.
"Pemilihan guru-guru KAFA ini sangat penting sebab kalau guru KAFA yang tidak ditapis, dilantik dan memahami konteks untuk membina murid dalam pendidikan KAFA ini yang menjurus al sunnah wal jamaah, maka sudah tentu ia akan mencacatkan usaha dan falsafah pendidikan kafa itu sendiri.
"Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menilai dan akan mengadakan satu proses supaya guru-guru KAFA ini yang mengajar dan mendidik benar memahami aliran falsafah Sunnah Wal Jamaah," kata Dr Nai'im, di Dewan Rakyat.
Tambahnya, setakat tahun ini bilangan guru KAFA adalah seramai 35,000 orang manakala cadangan penambahan bilangan guru KAFA kepada 1,500 orang guru tahun hadapan menunjukkan kerajaan serius dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan KAFA.
Ia selain menangani isu kekurangan guru, pertambahan murid dan pembukaan kelas murid yang berkeperluan khas.