
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Terengganu menekankan kepentingan penggunaan talian kecemasan secara bijak susulan peningkatan kes panggilan palsu yang membebankan operasi penyelamatan.
- Gunakan talian kecemasan hanya untuk situasi benar bagi menjamin bantuan sampai tepat pada masanya.
- Panggilan palsu membebankan atur gerak aset dan penggunaan sumber kerajaan.
- Pihak berkuasa merujuk kes palsu kepada MCMC untuk tindakan lanjut.
- Kesedaran awam dan langkah pencegahan proaktif membantu mengurangkan jumlah panggilan kecemasan.
Pengarah JBPM Negeri Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, kes panggilan palsu mencatatkan peningkatan pada 2025 dengan 26 kes dilaporkan berbanding 10 kes direkodkan pada 2024.
“Peningkatan ini amat membimbangkan kerana ia menimbulkan kerugian dari segi pengurusan atur gerak aset jabatan serta penggunaan sumber kerajaan.
“Pihak berkuasa telah mengambil tindakan dengan melaporkan kes ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan 2026 JBPM Negeri Terengganu di sini.
Menurut data JBPM, antara 2024 hingga 2025, jabatan tersebut merekodkan 9,365 panggilan kecemasan, termasuk kebakaran, penyelamatan dan tugas khas.
Jumlah itu menunjukkan penurunan 18.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, hasil kesedaran awam dan langkah pencegahan proaktif.
Pada masa sama masyarakat juga dinasihatkan supaya menggunakan talian kecemasan dengan betul, bagi memastikan bantuan sampai tepat pada masanya dan nyawa dapat diselamatkan.