fb fb fb fb fb

Guna kaedah PdPR bagi institusi pendidikan terkesan banjir

FOTO FAIL

PUTRAJAYA, 22 September - Institut pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

KPM dalam satu kenyataan berkata, ia sama ada melibatkan semua murid untuk berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu akan melaksanakan PdPR dan pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara berkenaan kepada mereka yang terjejas.

"Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran," kata KPM.

Setakat semalam, lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kedah masih dilanda banjir, manakala 36 institusi pendidikan di tiga negeri pula masih dijadikan PPS.

Ia melibatkan 20 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah iaitu 34 PPS dibuka di Kedah serta Pulau Pinang dan Perak masing-masing satu PPS.

"Seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah manakala Perlis telah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah telah ditutup," kata KPM lagi.

KPM sentiasa memantau situasi banjir untuk memastikan keselamatan warganya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata KPM akan menentukan sesi persekolahan bagi sekolah di Kedah yang terjejas akibat banjir atau PPS termasuk mempertimbang untuk memberi kelonggaran kepada sekolah terlibat.

TETITIA YUSOFF